PETALING JAYA – Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengunjungi kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini untuk berbincang tentang isu semasa.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dan Pengasas Parti MUDA berkata, perbincangan beliau dengan Ahli Parlimen dari mana-mana parti adalah sebahagian daripada tugas politik.

“Ketepikan ego politik dan cari jalan terbaik untuk negara,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Najib pula di akaun Facebook beliau sekadar memaklumkan beliau menerima tetamu hari ini bagi bertukar pandangan, perbincangan dan nasihat.

Kunjungan Syed Saddiq ke rumah Najib itu menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana bekas Ketua Armada itu antara yang lantang mengkritik Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. – K! ONLINE