KUALA LUMPUR : Puteri Umno Kelantan menasihati dan mempersoal kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Pengerusi Biro Undang-undang Puteri Umno Kelantan, Alwani Sofia Abdullah berkata, ketua Pemuda Bersatu itu perlu lebih relevan dan mendengar sepenuhnya teks ucapan Zakir.

“Kenapa sebelum membuat keputusan memberi hak mengundi kepada (belia) 18 tahun, Syed Saddiq boleh bertanya dan mengambil pendapat mufti, kenapa tidak dalam isu Zakir? Kenapa tidak dirujuk kepada mufti terlebih dahulu?” katanya

Alwani Sofia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Parlimen Muar yang menyokong gesaan supaya Zakir diusir.

Terdahulu, Syed Saddiq menyokong gesaan rakan kabinetnya – Gobind Singh Deo, M Kulasegaran dan Xavier Jayakumar – yang menuntut pengusiran warga India itu kerana membuat komen sensitif berhubung kaum dan agama.

“Serangan ke atas saudara Cina dan India kami adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia,” katanya kepada media, semalam.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila dalam ceramahnya di Kelantan minggu lalu menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai “tetamu lama” di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.

Susulan itu, Zakir mendakwa bahawa ucapannya berhubung masyarakat India diambil di luar konteks dan menjelaskan ada beberapa kumpulan Hindu di negara ini memilih untuk menyokong Modi, berbanding Dr Mahathir, dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.

Zakir bagaimanapun belum membuat sebarang penjelasan mengenai kenyataanya terhadap masyarakat Cina di Malaysia.

Sementara itu, Alwani Sofia menasihatkan Syed Saddiq agar tidak mendahului perdana menteri kerana dilihat bercanggah dengan kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang bertegas bahawa Zakir tidak akan dihantar pulang ke negara asalnya kerana dikhuatiri nyawa dan keselamatannya terancam.

“Kalau betul mahu menjadi hero rakyat, kenapa berdiam diri dalam isu-isu lain? Kenapa berdiam diri bila beberapa pemimpin PH menghina Islam sebelum ini?

“Maka Syed Saddiq perlu lebih relevan, bermuhasabah diri dan tengok balik perlembagaan Malaysia yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan.

“Jika bercakap soal Islam di negara ini merupakan satu kesalahan, apalagi yang umat Islam boleh harapkan anda sebagai kerajaan? Ini bukan isu politik, ini isu agama dan Islam,” jelasnya.