Kuala Lumpur: Mahu bermegah selain taasub dipuji antara faktor suntikan maut cecair anabolik steroid yang diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terus popular dalam kalangan ‘kaki’ gimnasium dan selebriti tempatan.

Difahamkan cecair ini mampu menimbulkan otot sasa pada bahagian tubuh dalam tempoh hanya beberapa hari selepas digunakan.

Tindakan menyuntik anabolik steroid terus ke dalam tubuh disifatkan tindakan terburu-buru golongan lelaki tanpa memikirkan risiko kesihatan bakal ditanggung.

Ketua Seksyen Kawalan Farmaseutikal dan Perlindungan Pengguna, Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM Wilayah Persekutuan, Shahid Yahya berkata, bahan sintetik dari hormon testosteron ini disahkan boleh menyebabkan penghasilan hormon tubuh menurun hingga menjadi tidak stabil selain menyumbang pelbagai kesan buruk lain.

Menurutnya, steroid digunakan tanpa kawalan diakui antara punca berlakunya perubahan tidak diingini kepada fizikal tubuh lelaki seperti tumbuhnya payudara, testis mengecil, suara menjadi halus dan pelbagai lagi kesan sampingan lain.

-mymetro