Puchong: Tabiat pelik seorang wanita warga emas gemar mengumpul sampah di dalam dan pekarangan rumahnya di Taman Bukit Kuchai, dekat sini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jirannya.

Wanita berusia 71 tahun itu tinggal bersendirian di rumah milik adiknya yang menetap di luar negara dan menyara kehidupan dengan menjual besi buruk.

Jirannya, Ahmad Mansor, 67, berkata, wanita itu tinggal di situ sejak lebih 10 tahun dan tabiatnya mengumpul sampah menjadi serius sejak enam tahun lalu.

Katanya, keadaan rumah itu dipenuhi dengan sampah menyebabkan kehadiran tikus yang sangat banyak dan mengundang haiwan berbisa selain menjadi punca pencemaran bau.

“Kami penduduk setempat sudah beberapa kali menasihatkannya, tetapi kami pula dimarahi dan ada juga pernah diserang kerana mengganggu aktivitinya.

“Kami tidak menghalang dia menjual barang terpakai yang dikutip dari tempat pembuangan sampah, tetapi buanglah barang yang tidak diperlukan lagi bukan simpan di rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, keadaan lebih teruk apabila wanita itu sudah ada ‘rakan kongsi’ iaitu seorang lelaki yang menaiki basikal membawa barang lusuh dan perabot rosak ke rumahnya setiap hari untuk dilonggokkan.

Tinjauan mendapati pekarangan hadapan rumah itu dipenuhi dengan sampah-sarap sehingga ke ruang dalam rumah dan usaha untuk bertemu dengan wanita berkenaan gagal apabila dia enggan memberi kerjasama.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Bukit Kuchai Lawrence Chiew berkata, sudah banyak aduan dan tindakan dibuat namun masih belum ada penyelesaian untuk menghalang warga emas itu daripada terus mengumpul sampah.

“Empat tahun lalu pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui aduan penduduk mengambil tindakan mengeluarkan barang, mengosongkan dan mencuci rumah berkenaan.

“Namun, wanita itu kembali melakukan aktiviti lama mengumpul bahan terbuang di rumahnya tanpa menghiraukan surat amaran, notis dan kompaun denda yang diberikan kepadanya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, aduan tetap dibuat oleh penduduk dan menunggu maklum balas daripada pihak MPSJ untuk mengambil tindakan pembersihan sekali lagi.

-myMetro