KUALA KANGSAR, 11 JAN – Kadar taburan hujan yang tinggi di kawasan empangan bermula awal Disember telah menyebabkan paras air di semua empat empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sepanjang Sungai Perak meningkat dengan mendadak.

Kadar kenaikan paras air di Empangan Temengor, Bersia, Kenering dan Chenderoh ketika itu adalah membimbangkan dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak diuruskan dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, paras air Sungai Perak ketika ini hanya satu meter daripada paras berjaga-jaga 33.1 meter dan paras bahaya 34.6 meter.

“TNB telah melaksanakan pelepasan terkawal di empangan Bersia dan Kenering sejak 7 Januari lalu bagi memastikan paras air di setiap empangan turut berada pada paras yang terkawal dan selamat.

“Namun begitu, disebabkan jumlah air yang tinggi, TNB terpaksa meningkatkan kadar pelepasan terkawal di Stesen Janalektrik Chenderoh sehingga 550 meter padu sesaat pada 9 Januari bagi mengimbangi paras air di Empangan Chenderoh dengan jumlah aliran air dari empangan Kenering dan sungai-sungai lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di jeti Dataran Lembah, Kuala Kangsar pada Isnin.

Menurutnya, buat masa ini belum ada kejadian banjir besar berlaku di kawasan-kawasan sepanjang Sungai Perak sejak November lalu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak telah mengarahkan semua agensi yang terlibat di Daerah Kuala Kangsar dan Perak Tengah supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ekoran peningkatan jumlah pelepasan air.

Dalam masa sama, orang ramai yang tinggal di kampung-kampung di sepanjang Sungai Perak diminta sentiasa berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan.