IPOH, 30 DIS: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneliti semula tahap keselamatan di Jambatan Sultan Yusuff, Telok Intan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Zolkafly Harun berkata, pihaknya akan meneliti laporan mengenai kemalangan yang berlaku di kawasan itu.

Katanya, pihak berkenaan juga akan mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

“Pihak JKR akan menyediakan laporan berhubung kemalangan yang berlaku baru-baru ini dan tindakan lanjut akan diambil bagi memperketatkan tahap keselamatan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sementara itu, Zolkafly menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah ketika melalui jalan mahupun jambatan yang sedang dalam pembinaan.

Beliau juga berharap semua pihak memberikan kerjasama dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi kebaikan pengguna jalan raya.

Ahad lalu, seorang penunggang motosikal telah tercampak dan jatuh ke Sungai Perak selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jambatan Sultan Yusuf, Jalan Teluk Intan-Sitiawan.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pemancing yang berada di sekitar kawasan berkenaan .

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 36 tahun patah tangan kanan dan retak tulang pinggul selepas terjatuh ke dalam sungai.