SIBU: Kerana tidak cukup wang untuk berkahwin, seorang lelaki nekad mencetak wang palsu bernilai RM4,000 dengan harapan memperolehi wang tulen daripada sebuah bank di Sibu, di sini tengah hari semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah pada jam 12.36 tengah hari kononnya wang RM 4,000 yang dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata suspek membuat laporan polis sebagai rujukan pihak bank dengan harapan dapat menukar wang palsu yang dicetaknya kepada wang tulen.

Menurutnya, bagaimanapun, selepas didesak, suspek akhirnya mengakui mencetak wang palsu itu sebelum suspek cuba untuk memperdayakan pihak bank.

“Suspek yang bertugas sebagai penjawat awam mencetak 25 keping RM100 dan 30 keping RM50 di kuarters tempatnya menginap di Sibu.

“Suspek bertindak sedemikian kerana tidak cukup wang perkahwinannya yang dijadualkan pada bulan Mac ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan – berita harian