JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menafikan satu senarai Jemaah Menteri yang menyebut nama beliau akan menjadi Menteri Kewangan 2 yang kononnya di bawah pembentukan kerajaan baharu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Setiausaha Agung UMNO itu, tidak mungkin beliau bersama DAP menerusi pakatan itu yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Wah hari-hari akan bergaduh, dia nak SST (cukai jualan dan perkhidmatan) cukai terburuk dalam dunia, kuno, orang senang tipu, tak telus dan regresif. Saya pula GST (cukai barang dan perkhidmatan) cukai terbaik dalam dunia, moden, sukar tipu, telus dan progresif.

“Tak mungkin saya bersama DAP. Siapa yang ramal ini, gunalah otak sikit,” katanya dalam hantaran Facebook beliau semalam.

Semalam tular satu senarai nama anggota Kabinet yang menyebut Ahmad akan menjadi Menteri Kewangan 2 manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula Menteri Kewangan 1.

Dalam senarai itu juga menyebut Anwar menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kelmarin, Anwar mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas pihaknya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Kata Anwar, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun beliau tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehnya. – UTUSAN