TELUK INTAN – Kerajaan negeri sedang berbincang dengan beberapa penaja bagi mengurangkan perbelanjaan Lembaga Air Perak (LAP) yang menaja pasukan bola sepak negeri ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, perbelanjaan menguruskan pasukan bola sepak negeri yang menelan belanja RM8 juta hingga RM10 juta setahun dilihat begitu banyak.

“Kita kena susun semula perkara ini, bila nak bagi air percuma LAP kena jaga perbelanjaan baik-baik jangan berbelanja tidak tentu arah misalnya berbelanja kepada pasukan bola sepak tak payah sampai RM8 juta hingga RM10 juta setahun.

“Memadai hanya RM2 juta hingga RM4 juta setahun walaupun kita semua minat bola sepak dan nak pasukan jadi champion tapi tak payahlah berbelanja besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersatu Teluk Intan di Kampung Air Hitam, di sini petang tadi.

Menurut Ahmad Faizal terdapat jalan alternatif bagi membantu pasukan bola sepak negeri ini dalam memperoleh perbelanjaan menguruskan pasukan berkenaan melalui penaja lain.

“Saya sedang bincang dengan beberapa rakan yang boleh taja pasukan bola sepak dan kalau dah ditaja LAP tak payah sponsor duit kepada pasukan ini.

“Duit tersebut dapat digunakan mungkin bagi diskaun jauh lebih besar bagi air di negeri ini masa depan,” katanya – sinar