KUALA LUMPUR : Kumpulan Pewaris Kampung Baru sedia bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk menyelesaikan kemelut nilai tanah dan pembangunan semula kampung tradisi itu.

Setiausahanya, Zainudin Ismail berkata, pihaknya senada dengan cadangan DPMM yang mana tanah Kampung Baru perlu dikekalkan pemilikannya kerana ia merupakan satu-satu milik orang Melayu ibu negara.

“Kita ada macam-macam pilihan tapi yang penting sekali tanah tak perlu jual kerana tanah itu saja yang ada di Kampung Baru.

“Kalau DPMM nak datang untuk buat kerjasama tiada masalah, kami terima.

“Kalau ada pihak macam DPMM nak masuk membantu kami, kami alu-alukan 100 peratus,” katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DPMM, Amir Hamzah Karim mendakwa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh Kementerian Wilayah dan Persekutuan (KWP).

Amir Hamzah menegaskan, penawaran pembelian tanah Kampung Baru bukan sahaja di bawah nilai semasa bahkan ia akan menyebabkan orang Melayu kehilangan tanah rizab yang diwarisi sejak berpuluh tahun lalu.

Sebaliknya kerajaan sepatutnya menggunakan pendekatan lain dalam pembangunan semula Kampung Baru, bukan lagi menerusi pembelian sebaliknya melalui pajakan tanah, tambah beliau.

Dalam pada itu, Zainudin juga mengalu-alukan kesediaan mana-mana pihak termasuk DPMM untuk membantu pihaknya mendapat modal bagi pembangunan semula tanah tradisi itu.

“Tanah itu ada potensi, jadi tanah itu boleh dibangunkan. Ini kerana kita perlukan modal.

“Semua model pembangunan sudah ada, cuma kita tiada wang,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette