SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil menjelaskan ketidakhadiran beliau ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung di Istana Negara semalam.

Najib berkata, beliau tidak sempat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang miliknya kerana kedudukan tempat duduknya yang ditukar untuk istiadat tersebut.

“Bukan kekeliruan tetapi menerima panggilan pada jam 6:30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar. Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” katanya di Facebooknya hari ini.

Najib berkata, akibat pertukaran pada saat akhir itu, beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian dari Pekan.

“Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan,” katanya.

Semalam, pegawai beliau mengesahkan Najib tidak menghadiri istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas Ahli Parlimen Pekan tersebut mengetahui bahawa tempat duduknya diubah dari barisan tetamu kehormat ke barisan belakang iaitu tempat duduk Orang Besar Pahang.

 

Tempat duduk diubah, Najib tak hadir pertabalan