BANDAR SERI JEMPOL – Seorang lelaki tidak sempat membayar upah pekerja syarikat milik bapanya selepas dia terbabit kemalangan di Kilometer 22 Jalan Bahau-Keratong, awal pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Out Kah Chun, 30, cedera parah di bahagian kepala dan badan, maut di tempat kejadian selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux yang dipandunya terjunam ke dalam gaung.

Abang mangsa, Out Kah Kim, 32, berkata, adiknya dalam perjalanan dari Seremban ke Kuantan, Pahang, untuk menyerahkan gaji pekerja di sana.

“Terima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat kerana jujur dan prihatin, tolong simpan dokumen berharga milik adik saya termasuklah wang dalam sampul berisi lebih kurang RM4,500. Duit itu untuk bayar upah pekerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noor Zainy Mohd Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan ke kiri bahu jalan.

“Kemudian kenderaan mangsa kembali naik atas jalan dan dipercayai telah bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak diketahui, dari arah bertentangan.

“Akibat pergeseran tersebut, kenderaannya telah jatuh ke dalam gaung di sebelah kanan laluan bertentangan sedalam 15 meter. Namun tiada saksi awam yang nampak kejadian itu,” katanya, semalam.

Noor Zainy berkata, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian kerana kecederaan parah dialami.

“Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan pihak bomba dan penyelamat yang mengambil masa kira-kira 10 minit. Mayatnya dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-SinarHarian