KOTA BELUD: Perdana Menteri memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah petunjuk rakyat mahukan Perikatan Nasional (PN) untuk memimpin negara.

“Di peringkat nasional kita (kerajaan) belum putuskan bila akan adakan pilihan raya (umum), tapi kalau menang di Sabah, kita cepat-cepat adakan pilihan raya di peringkat pusat.

“Apa yang penting PRN Sabah adalah petunjuk perlu diberikan rakyat Sabah yang mahu kerajaan Perikatan Nasional untuk membawa Malaysia dan Sabah yang lebih berjaya jika terus bersama saya.

“Kalau ada peluang bentuk kerajaan jangan pilih Parti Warisan Sabah, Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kawan lama saya tapi tidak mahu bersama saya (dalam kerajaan).

“Takkan nak pilih pembangkang untuk tadbir Sabah dalam keadaan sukar, isu tanah kerajaan negeri akan cari jalan untuk selesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Kampung Rampayan Laut, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; calon PN bagi kerusi Pintasan, Fairuz Renddan; Mohd Arsad Bistari mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Tempasuk dan Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mewakil BN bagi kerusi Usukan.

Muhyiddin berkata, bukan mudah untuk memimpin negara dalam keadaan sukar dan meminta petunjuk dari Allah SWT untuk setiap keputusan yang mahu dibuat untuk rakyat.

Katanya, bagi melonjakkan semula ekonomi, beliau sudah mengarahkan menteri untuk memudahkan peraturan sedia ada bagi membolehkan lebih ramai pelabur datang ke Malaysia untuk melabur.

“Saya bentuk sebuah jawatankuasa tertinggi diketuai Ketua Setiausaha Negara dan sekarang kita cari peluang untuk bantu peniaga.

“Jika dulu ada yang mahu bina kilang ambil masa tiga tahun tapi sekarang mana boleh tiga tahun, kalau amalan biasa apa akan jadi? Kita akan ketinggalan,” katanya.