Kota Kinabalu: Usaha tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di bilik sewa yang pintunya dikunci dari luar gagal mengaburi polis sebelum mereka ditahan di Taman Indah Permai, Manggatal, dekat sini, jam 2 pagi kelmarin.

Terdahulu, warga asing berusia 10 hingga 40 tahun itu tidur di bilik sewa berkenaan dan tidak memberi kerjasama dengan polis yang meminta mereka membuka pintu untuk pemeriksaan.

Selepas sejam menunggu, polis memotong kunci mangga pintu itu sebelum menahan mereka.

Pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sah dan menetap di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman mengesahkan serbuan itu.

“Selain mereka, kami turut menahan 25 warga asing di lapan lokasi seperti di Inanam, Kolombong dan Telipok berusia setahun hingga 61 tahun,” katanya.

Menurutnya, semua warga asing itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai tidak menyewakan rumah atau bilik kepada warga asing yang masuk ke negeri ini secara haram kerana ia menyalahi undang-undang.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Hmetro