TAIPING: Kira-kira 200 pelawat mengunjungi Taman Botani Perak (TBP) pada awal Ogos lalu apabila taman awam itu membuka pintunya kembali kepada orang awam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, taman itu dibuka semula pada setelah ditutup empat bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketika ditemui pemberita, baru-baru ini, beliau berkata, pelawat-pelawat diminta mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Taman ini dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 7 malam setiap hari. Pelawat tidak dibenarkan masuk semasa hujan dan selepas pukul 6.30 petang. Pada masa ini, had pelawat adalah 500 orang pada satu-satu masa.

“MPT berharap dengan pembukaan semula TBP ini maka jumlah bilangan pengunjung dijangka kembali meningkat dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke bandar Taiping,” katanya.

Pembukaan semula TBP dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara, Rotina Mohd Daik dan turut dihadiri oleh Setiausaha Perbandaran MPT, Kamaruzzaman Kamari.Pada masa ini kemasukan pengunjung ke TBP masih percuma.

MPT sedang mempertimbangkan caj konservasi wajib sebanyak RM2 bagi setiap pengunjung bermula 1 Januari tahun depan, kecuali kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Pembinaan Taman Botani Perak bermula sejak tahun 2016 bagi tujuan penyelidikan, konservasi saintifik, pendidikan dan rekreasi awam. Ia dibuka kepada pelawat mulai 16 Ogos 2019.

Taman yang berkeluasan 56.5 ekar itu merupakan Taman Botani Negara yang ketiga oleh Jabatan Landskap Negara setelah kewujudan Taman Botani Johor dan Taman Botani Sarawak.

Taman itu merupakan sebahagian daripada rizab kawasan lapang Taman Tasik Taiping yang mana pembinaannya meliputi tiga fasa dengan kos keseluruhan sebanyak RM30 juta.

Taman itu menampilkan 13 laman yang menarik iaitu Laman Perakensis, Laman Melayu Perak, Laman Endemik Zon Utara, Laman Ferneri, Laman Orkidarium, Laman Wetland, Laman Palmatum, Laman Bambusetum, Laman Zingiberium, Laman Ridzuani, Laman Etnobotani, Laman Aroid dan Laman Buah-Buahan Nadir.

Komponen utama lain yang menjadi tarikan pengunjung ialah Dataran Botani, Dataran Orkid, Dataran Palma, Laman Tema dan Laman Keramaian.

Lokasi Taman Botani Perak amat strategik untuk tumpuan pelancong kerana dikelilingi dengan pelbagai tempat pelancongan terkenal seperti Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping dan beberapa tarikan lain.

Selain itu, taman botani itu mempunyai kualiti visual yang menarik kerana kedudukannya berlatarbelakangkan pemandangan Bukit Larut dan Banjaran Bintang.

Taman botani itu turut menerapkan konsep Muzium Hidup Tumbuhan ditafsirkan sebagai satu arkib mengumpul dan mempamerkan pelbagai koleksi tumbuhan yang mempunyai nilai estetik dan saintifik tersendiri.

Spesies koleksi tumbuhan di sini menonjolkan keunikan, keindahan dan kekayaan alam semulajadi negeri Perak termasuk Johannesteijsmania perakkensis atau Daun Payung Perak dan Samanea saman Yellow atau Hujan-hujan permaisuri, pokok yang simbolik dengan Taman Tasik Taiping.