BATU GAJAH – Satu aktiviti pencerobohan tanah dikesan berlaku di taman negeri ketiga di Perak iaitu Taman Alam Kinta sejak seminggu lalu.

Pencerobohan membabitkan kawasan seluas empat hektar itu melibatkan kerja-kerja pembersihan dilakukan sebuah koperasi dipercayai bagi tujuan tanaman kontan.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, koperasi terbabit mendakwa telah memiliki tapak berkenaan melalui satu perjanjian sewa dengan operator tempatan pada bayaran lebih RM7,000 secara tahunan.

Bagaimanapun menurutnya, pemeriksaan lanjut dilakukan bersama Perbadanan Taman Negeri Perak mendapati, dokumen perjanjian sewa yang dilakukan adalah tidak sah.

“Baik kerajaan negeri mahupun perbadanan, kita tidak pernah memberi kelulusan atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menjalankan sebarang aktiviti di tapak yang telah digazetkan sebagai taman negeri.

“Ini adalah satu bentuk pencerobohan, segala kerja pembersihan yang telah dilakukan pihak terlibat adalah salah di sisi undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan Taman Alam Kinta, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Asmah Mohd Nawawi,

Satu laporan polis telah dibuat, 19 Julai lalu dan siasatan lanjut berhubung kes itu dilakukan di bawah Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara 1965.

Kar Hing berkata, kes berkenaan adalah yang pertama dilaporkan berlaku sejak Taman Alam Kinta yang berkeluasan lebih 395 hektar diisytiharkan sebagai taman negeri ketiga pada Mac 2016.

Katanya, kekurangan tenaga renjer untuk melakukan rondaan selain faktor persempadanan yang memudahkan laluan masuk ke kawasan taman antara penyumbang pencerobohan boleh dilakukan.

“Kita dimaklumkan, hanya terdapat dua renjer bertugas untuk memantau dan membuat rondaan di seluruh kawasan ini, kita fahami kekangan ini dan akan memberi perhatian segera termasuk menambah bilangan tenaga kerja,” katanya – sinar