KUALA LUMPUR : Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, digesa menjelaskan alasan sebenar perkhidmatan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), J Solomon, ditamatkan secara tiba-tiba pada Disember lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata Kulasegaran bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana tempoh pelantikan Solomon yang juga Setiausaha Agung MTUC hanya akan berakhir pada 31 Julai 2021.

“Kulasegaran sebelum ini mendakwa beliau menamatkan perkhidmatan Solomon di PERKESO atas desakan Lembaga Pengarah PERKESO sendiri (berdasarkan satu laporan media berbahasa Inggeris).

“Bagaimanapun, dalam surat penamatan pelantikan itu, Kulasegaran merakamkan penghargaan tertinggi kepada Solomon kerana ‘meningkatkan martabat PERKESO di Malaysia dan persada antarabangsa’.

“Dalam surat itu, beliau tidak menyentuh sebarang rasa tidak puas hati Lembaga Pengarah PERKESO, jika wujud, terhadap khidmat Solomon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata, Solomon turut mendakwa Lembaga Pengarah PERKESO tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat di mana perbincangan diadakan atau keputusan diambil bersabit rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Justeru berdasarkan perbezaan fakta yang ketara itu, beliau menegaskan, Pejabat Menteri Sumber Manusia wajar memberikan penjelasan telus dan benar demi meleraikan kebimbangan serta syak wasangka berhubung tindakan terhadap Solomon.