SELINSING – Jabatan Perikanan Daerah Kerian bakal menerima aset tambahan dalam masa terdekat bagi menangani ancaman bot pukat rawa surong yang semakin berleluasa kebelakangan ini di perairan daerah berkenaan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, aset tambahan itu adalah sebuah ‘air boat’ dan beberapa sampan risik yang amat penting digunakan pihak penguat kuasa jabatan itu bagi mendekati bot pukat surong yang sering bersembunyi di bahagian pantai dan celah hutan paya bakau.

Menurutnya, pengusaha bot pukat surong ini begitu licik melarikan diri dan bersembunyi di bahagian pantai dan hutan paya bakau berhampiran sekiranya mereka menyedari aktiviti perikanan haram mereka dikesan anggota penguat kuasa.

“Sebelum ini, bot sedia ada digunakan anggota penguat kuasa menghadapi kesukaran menghampiri pantai sekali gus menangkap pengusaha bot pukat surong yang bersembunyi di situ.

“Kita yakin dengan usaha memperoleh sebuah ‘air boat’ dan sampan risik, kita akan mampu menangani masalah ancaman pukat surong dalam masa terdekat,” katanya kepada media pada majlis penyerahan tong insulasi kepada 60 nelayan tradisional di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Daerah Perikanan Kerian, Hamidon Ahmad.

Zaki berkata, usaha Jabatan Perikanan untuk membanteras aktiviti bot pukat surong sememangnya konsisten dan berterusan, selaras dengan hasrat Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang enggan berkompromi dengan sebarang peralatan pukat yang merosakkan sumber perikanan.

Terkini pada 14 Julai lalu, Zaki menegaskan pihaknya ada menerima aduan nelayan Kampung Lubuk Buntar dan Kampung Sungai Baru, di sini mengenai pencerobohan bot pukat surong di kawasan perikanan mereka.

Menurutnya, dengan bantuan Sukarelawan Perikanan (Super) di sini, anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Daerah Kerian mengenal pasti kedudukan dua bot yang beroperasi secara haram itu.

“Anggota penguat kuasa bertugas cuba menangkap kedua-dua bot itu, namun bot itu berjaya melarikan diri hingga ke jambatan Kuala Kurau.

“Namun setibanya di situ, bot itu sudah tidak boleh bergerak ke tempat lain dan awak-awak di dalamnya segera melarikan diri.

“Kedua-dua bot itu kemudiannya dibawa pulang ke jeti pengkalan Jabatan Perikanan Daerah Kerian,” katanya.

Selain tindakan penangkapan bot pukat surong, Zaki menegaskan pihaknya turut aktif membendung sebarang usaha pencerobohan bot lain yang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan tidak dibenarkan.

Menurutnya, pada Jun sahaja, Jabatan Perikanan Daerah Kerian melakukan 11 tangkapan melibatkan kes berkaitan pukat kenka di mana kesemuanya sudah dikenakan tindakan kompaun.

“Jabatan Perikanan sentiasa memandang serius sebarang aduan diterima dan mengadakan pemantauan secara berkala bagi menangani sebarang kes melibatkan pencerobohan pukat kenka dua bot, bot pukat surong dan bubu naga,” katanya – sinar