IPOH : Tambun di Perak menjadi kawasan baharu yang dimasukkan ke dalam Projek Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ia sekaligus menjadikan projek rintis itu kepada 13 dan akan diperluaskan sejajar dengan penilaian berdasarkan model baharu yang akan diguna pakai.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, fasa pertama projek itu yang dimulakan Julai lalu akan berakhir hujung tahun ini dan akan diteruskan enam bulan lagi.

“Kita juga akan menggunakan hasil-hasil yang dapat daripada negeri Perak sebagai kita punya input untuk perlaksanaan di seluruh negara nanti sebab sekarang ini kita sedang memuktamadkan kawasan berisiko yang baru, koloberasi antara agensi dadah, polis, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang berkaitan.

“Kita sedang melihat semula kawasan yang berisiko di satu negara supaya kita lebih fokus, perhatian kita akan diberikan kepada kawasan-kawasan berisiko dahulu manakala yang lain-lain mungkin tindakan-tindakan yang biasa akan diambil.

“Kita berharap sebelum akhir tahun ini, kita akan muktamadkan kawasan berisiko baru, termasuklah juga bagi negeri Perak,” katanya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat majlis tindakan membenteras dadah peringkat negeri Perak di sini, hari ini yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan projek rintis AADK dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan di tujuh negeri.

Dua belas kawasan itu ialah Langkawi, Felda Lubuk Merbau dan Kuala Kedah di Kedah; Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan Felda Gugusan Hulu Selangor di Selangor; Johor Bahru (Perling/Tampoi/Skudai) dan Parit Sulong Batu Pahat di Johor; Pengkalan Chepa di Kelantan; Kuala Dungun di Terengganu; PPR Sungai Bonus di Kuala Lumpur dan Felda Keratong 3, di Pahang.

Kawasan projek rintis itu terletak dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu dan projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara.