Kuala Berang: Walaupun pembalakan antara industri yang mendatangkan pendapatan bagi negara namun jika dibiarkan berterusan tanpa langkah pemuliharaan, ia mampu mendatangkan bencana pada masa depan.

Langkah strategik di ambil dengan menjalankan aktiviti tanam semula kawasan pembalakan dilihat dapat melestarikan alam semula jadi bagi tatapan generasi akan datang.

Aktiviti semaian anak pokok balak dilakukan Jabatan Perhutanan adalah antara langkah untuk memastikan spesies pokok berkualiti tinggi terus terpelihara dari semasa ke semasa.

Wujudnya tapak semaian pokok balak milik jabatan itu di tanah berkeluasan 0.8 hektar di Ajil di sini, mampu membekalkan pelbagai jenis anak pokok bukan hanya untuk ditanam semula di kawasan pembalakan malah melalui hasil semaian itu, pihak berkenaan mampu membekalkan pokok untuk pelbagai program yang dianjurkan agensi terbabit.

Pegawai Perhutanan Daerah Hulu Terengganu Mohd Asri Yussof berkata, tapak semaian di Ajil kini mempunyai 45,000 anak pokok pelbagai jenis dan kawasan itu sedang dalam proses naik taraf bagi membolehkan kira-kira 100,000 anak pokok ditempatkan pada satu masa.

“Kaedah semaian biji benih dan anak pokok yang hidup liar dilakukan kakitangan pejabat perhutanan yang mana anak benih pula diperoleh di kawasan hutan di daerah ini sebelum disemai dan dijaga dengan baik sebelum ditanam semula di kawasan hutan.

“Biasanya pokok berketinggian satu meter dibawa ke tapak pembalakan yang sudah ditebang dan itu termaktub di dalam syarat lesen pembalakan yang dikeluarkan bagi menjamin kelestarian alam terus terjaga.

“Selain itu, pelbagai program seperti aktiviti penanaman pokok di sekolah, tempat awam dan penduduk kampung dianjurkan terutamanya pokok karas membabitkan anak pokok yang disemai Jabatan Perhutanan,” katanya.

Menurut beliau, pernah pihaknya menganjurkan program agihan bubur lambuk bersama anak pokok perhiasan pada Ramadan lalu dan simboliknya adalah pokok itu sendiri yang mana ia perlu dijaga dengan baik dan tidak dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya.

“Antara spesies pokok yang disemai di pusat semaian di Ajil ialah meranti, cengal, nyatoh, keruing dan merawang.

“Bagaimanapun, kami kini memandang ke depan dan tidak lama lagi bakal mewujudkan semaian anak benih pokok buah-buahan tradisional contohnya buah katak puru, jemai, sentul dan machang.

“Ini bagi membolehkan generasi akan datang terus mengenali buah-buahan berkenaan bukan hanya pada nama malah boleh melihat rupanya,” katanya.

Mohd Asri berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadikan pusat semaian di Ajil, itu sebagai salah satu pusat penyelidikan dan pelajar universiti terbabit juga datang membuat kajian ke atas pokok yang berada di situ.

“Sejak dibuka tiga tahun lalu tapak semaian itu sudah mengeluarkan kira-kira 150,000 anak pokok untuk kegunaan dalam pelbagai program antaranya tanam semula untuk pembalakan, aktiviti tanam pokok di sekolah dan tempat awam.

“Bagi merealisasikan semaian anak pokok buah-buahan tradisional ini, kakitangan Pejabat Perhutanan Hulu Terengganu, akan ke kampung-kampung untuk mendapatkan benih yang sukar diperoleh untuk disemai sebelum ditanam semula,” katanya.

Justeru, katanya, tapak semaian berfungsi sebagai agen membekal anak pokok balak bagi menjamin kelangsungan sesuatu spesies pokok daripada terus pupus selain peranan pusat itu juga sebagai tempat untuk menjalankan penyelidikan.

Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan dan dengan kaedah pembinaan kubah yang dilitupi plastik dapat mempercepatkan proses tumbesaran pokok dan mampu menjimatkan penggunaan air.

Katanya, pusat itu mampu mengelak berlakunya kepupusan kerana ia dikawal selia oleh tenaga kerja yang mahir selain melalui kajian oleh agensi berkelayakan. -metro