RAUB: Seorang kanak-kanak lelaki menahan kesakitan lebih sejam selepas tapak tangannya tertusuk besi ketika menangkap ikan di sungai di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Ayie Jery, 10, dari Kampung Ulu, Sungai Raub, cedera tertusuk besi sepanjang kira-kira 0.5 meter di tapak tangan kirinya.

Berikutan itu, khidmat khas bomba dipanggil bagi memotong besi berkenaan ketika dia menerima rawatan awal di Hospital Raub.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Sani Harul, berkata sepasukan empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub bergegas ke Hospital Raub sebaik menerima panggilan jam 3.02 petang.

“Setiba di hospital, kami dapati besi yang digunakan untuk menangkap ikan masih tertusuk pada tapak tangan kanak-kanak berkenaan.

“Kami kemudian diminta memotong lebihan besi di tapak tangan mangsa bagi memudahkan pihak hospital merawatnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba kemudian dapat memotong besi berkenaan menggunakan pemotong besi dalam masa setengah jam.

“Sejurus berjaya mengeluarkan batang besi panah ikan itu pada jam 3.34 petang, pasukan perubatan kemudian memberikan rawatan lanjut kepada mangsa. Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya – berita harian