IPOH – Satu sistem pengurusan buangan yang cekap diperlukan bagi menangani lambakan buangan elektronik (e-waste) selaras dengan kepesatan pasaran barangan berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, sistem berkenaan perlu diwujudkan dengan mengambil kira jenis buangan yang terhasil dan kaedah pengurusannya tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengelak ia dibuang tanpa kawalan.

Menurutnya, kaedah buangan yang tidak teratur akan memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar, kesan daripada bahan kimia dan logam seperti plumbum, raksa, cadmium dan polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh menyebabkan kanser.
“Pelbagai jenis barangan elektronik dicipta dan dipasarkan untuk memenuhi permintaan dan apabila tempoh hayat peralatan ini berakhir maka berlakulah lambakan buangan elektronik bersamaan jumlah penggunaannya.

“Tidak hanya telefon bimbit, komputer, barangan rumah seperti ketuhar gelombang mikro, peti sejuk, televisyen, monitor dan pemain MP3, semuanya termasuk dalam kategori sisa elektronik yang perlu dilupus dengan baik. Senario ini memerlukan kita mempunyai sistem pengurusan buangan yang cekap,” katanya sempena majlis perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2017 peringkat negeri Perak di Hospital Pakar KPJ Ipoh, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Mohammed Nasser Abdul Razak.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Abdul Razak Abdul Manap dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Juhaimi Jusoh.

Muhammad Amin berkata, tidak seperti program kitar semula kertas dan aluminium, pengurusan sisa e-waste masih belum dititikberatkan dan diserapkan dalam program pendidikan pelajar sekolah serta sektor pekerjaan.

“Sistem pengurusannya kelak bakal menjadi cabaran besar untuk memulakan kesedaran dan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, beliau berkata, penganjuran bersama KPJ ini satu kolaborasi positif untuk menerapkan elemen alam sekitar dalam sektor perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Asmadi Mohd Bakri berkata, sejak 2013, KPJ telah menubuhkan Jawatankuasa Alam Sekitar yang dianggotai 30 warga kerja bagi memastikan pengurangan sisa pepejal, menggalakkan kitar semula, penjimatan sumber tenaga dan pengawalan penggunaan bahan kimia serta bahan buangan berjadual dilakukan di hospital terbabit.

-SinarHarian