IPOH: Kerajaan negeri Perak menangguhkan larangan penggunaan plastik dan polistrin untuk mengelakkan berlaku konflik seperti yang berlaku di sebuah negeri lain sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, kerajaan juga tidak mahu ia menjadi masalah kepada pengguna dan peniaga kerana ia melibatkan bayaran.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam masa sama, kerajaan negeri melakukan pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna dan peniaga supaya beralih kepada penggunaan plastik dan polistrin dari bahan yang boleh diurai secara semula jadi.

“Malah, sebenarnya sudah ada syarikat yang telah mengeluarkan plastik dan polistrin yang boleh diurai secara semula jadi,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Amin memberitahu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui unit mencegah kebakaran terbuka telah menerima 16 aduan di seluruh negeri sepanjang tahun ini di mana enam telah dikompaun manakala bakinya diberi amaran dan dipantau.

Menurutnya, JAS mengambil tindakan segera menjalankan siasatan apabila menerima aduan melalui pelbagai sumber , selain menjalankan operasi rondaan darat dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, di kawasan yang berpotensi.

“JAS juga menjalin kerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh dan pihak berkuasa tempatan untuk mencegah pembakaran terbuka, seperti di kawasan perumahan, kilang mengusaha logam, bengkel dan tapak kitar semula bahan-bahan plastic,” ujarnya.

Dr Amin berkata, Jabatan Perhilitan pula sentiasa berusaha untuk menangani kacau ganggu hidupan liar seperti kera, babi dan gajah yang menjejaskan tanaman penduduk.

Beliau memberi contoh, sepanjang tempoh Sembilan pertama tahun ini, lebih 1,700 ekor kera dan lebih 300 babi hutan ditangkap, hasil operasi yang dijalankan, sama ada melalui pemasangan perangkap ataupun operasi bersepadu bersama pihak-pihak lain.

“Pihak jabatan juga menyarankan kepada semua pengusaha ladang supaya mempraktikkan konsep amalan pertanian yang baik bagi memastikan kebun di dalam keadaan bersih dan sistematik,” kata beliau.