SINGAPURA: Malaysia akan membayar RM2 juta kepada Singapura sebagai kos penangguhan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kos penangguhan itu akan dibayar kepada Singapura sebelum 30 Julai depan.

Beliau berkata, kos berkenaan bukan pampasan, namun jumlah yang sudah dibelanjakan republik itu bagi pelaksanaan projek RTS di Singapura.

“Hari ini, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan RTS, iaitu menangguhkan projek berkenaan hingga 31 September depan.

“Penangguhan ini akan membolehkan kedua-dua negara untuk meneliti semula pendekatan dan struktur projek RTS supaya ia lebih kos efektif.

“Namun, Malaysia perlu membayar kos penangguhan sebanyak RM2 juta kepada Singapura atas kerja projek RTS yang sudah dimulakan di republik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, di Bangunan Pengendali Pelabuhan Singapura (PSA), di sini, hari ini.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Khaw Boon Wan sempena majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan berkaitan Penangguhan Projek RTS Johor-Singapura hari ini. – Foto BERNAMA

April lalu, Malaysia meminta lanjutan tempoh hingga September depan daripada Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek RTS.

Loke dilaporkan sebagai berkata, kerajaan perlu memperhalusi pelbagai perkara, termasuk isu berkaitan kos untuk melaksanakan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, penangguhan projek RTS akan membolehkan Malaysia mencari formula terbaik mengurangkan kos projek berkenaan dari segi skop kerja dan infrastruktur.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar tambang RM15 sehala dalam perjanjian asal projek RTS juga akan dilihat semula berikutan ia membebankan rakyat Malaysia.

“Kita harapkan penyertaan sektor swasta dalam projek ini dengan kos pembinaan dan pengoperasian diambil alih mereka, sekali gus mampu mengurangkan kos keseluruhan RTS.

“Ia juga sebagai langkah mengurangkan tambang sehala ditetapkan RM15 sebelum ini yang dilihat membebankan rakyat kita,” katanya.

Ditanya sama ada syarikat swasta tertentu sudah dikenal pasti, beliau berkata, ia masih belum dan perkara itu akan dibincangkan dengan Singapura terlebih dahulu.

Sementara itu, Boon Wan berkata, Singapura komited untuk membincangkan usaha supaya projek RTS dapat diteruskan dengan kos lebih rendah mahupun skop kerja baharu.

“Kami juga komited untuk menerokai inisiatif, termasuk penggunaan teknologi baharu, bagi meningkatkan pemeriksaan keselamatan di sempadan, selain penyelesaian berterusan masalah kesesakan di pintu masuk kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, beliau berharap projek RTS dapat diteruskan kerana pembatalannya akan memerlukan Malaysia membayar pampasan berjumlah SGD66 juta (RM200 juta) kepada Singapura – Berita harian