Petaling Jaya: Bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam kotak di tangga di Pangsapuri Flora Damansara, di sini 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, bayi itu ditemui remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga penghuni pangsapuri berkenaan.

“Menurut keterangan saksi, ketika dalam perjalanan menaiki tangga untuk menuju ke rumahnya, dia terdengar tangisan bayi sebelum menemui bayi berkenaan dalam kotak mineral yang diletakkan di tangga antara tingkat lapan dan sembilan.

“Dia kemudiannya membawa bayi itu ke rumahnya dan menghubungi ibunya yang sedang bekerja. Ibu remaja itu menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan mengesahkan bayi itu dalam keadaan stabil dan dirujuk ke unit kecemasan hospital berkenaan untuk rawatan,” katanya.

-myMetro