IPOH: Sebuah tapak pelupusan bahan buang mencurigakan, disyaki sisa industri, ditemui di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor, dekat sini.

Sehubungan itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa, khususnya Jabatan Alam Sekitar melakukan siasatan terperinci
kerana dibimbangi bahan itu boleh menjejaskan alam sekitar.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman mempersoalkan, sekiranya bahan buangan itu tidak berbahaya kepada alam sekitar atau bukan buangan terjadual, mengapa ia tidak dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sekiranya bahan buangan tersebut adalah sisa industri, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan yang tegas kepada yang kepada pihak yang membuang dan melupuskan sisa ini.

“Sekiranya ini sisa buangan industri, ada tempat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, bukan sembarangan tempat dan Jabatan Alam Sekitar perlu jelaskan kepada umum,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan berkenaan hari ini.

Menurutnya, bahan pelupusan itu dikenal pasti setelah pihak SAM mendapat maklumat awam baru-baru dan dianggarkan telah lebih setahun dilupuskan di kawasan tersebut.

Sementara itu, pemilik D’ Lereng Resort yang terletak bersebelahan tapak tersebut, Nasaruddin Umar, 53, berkata, sisa buangan itu ditemui kira-kira dua minggu lagi selepas pihaknya mengorek kawasan berkenaan ekoran kelubung yang pecah sehingga menyebabkan berlaku banjir.

“Kita tidak tahu apa bahan itu, cuma yang berlaku ialah apabila dua minggu lalu air sungai (Sungai Chepor) berwarna hijau dan ada individu yang memviralnya dalam Facebook.

“Di samping itu, penduduk kampung yang mengusahakan inap desa juga ada datang ke sini untuk melihat apa yang berlaku,” ujarnya.

Nasaruddin mendakwa, sebelum ini terdapat kes ikan yang dipelihara penduduk kampung mati, tetapi tidak diketahui puncanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul berkata, pihaknya akan menghantar pegawai ke kawasan berkenaan dan mengambil sampel sisa buangan untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar juga akan mendapatkan maklumat mengenai pemilik tanah berkenaan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Ipoh.