IPOH: Tapak Pelupusan Teluk Mengkudu di Pantai Remis masih digunakan kerana ia masih boleh menampung sampah daripada kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kerja-kerja pembaikan ban yang pecah dengan menambak sel utama di tapak itu telah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Manjung.

Beliau memberitahu, kerja-kerja itu telah dilaksanakan pada 25 Januari lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Januari.

“Langkah-langkah pencegahan yang telah diambil bagi mengelakkan perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang adalah dengan meninggikan paras benteng di sel utama serta memantau keadaan keseluruhan di tapak pada setiap hari,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP – Pantai Remis) semasa sidang DUN pada Jumaat.

Wakil rakyat Pantai Remis itu bertanyakan langkah yang diambil terhadap Tapak Pelupusan Teluk Mengkudu runtuh pada 24 Januari lalu apabila hujan lebat.

Dr Amin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan aduan yang diterima mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Menurutnya, JAS telah mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 akta berkenaan dengan mensyaratkan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengambil langkah mitigasi bagi mengawal pencemaran dari berulang.

“JAS juga telah menjalankan kerjasama dengan pihak Majlis Daerah Manjung bagi mengatasi masalah ini secara berterusan dengan mengambil kira semua aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Zainun Mat Nor (BN – Chenderoh), Dr Amin memberitahu, JAS telah melakukan pelbagai langkah untuk mengawal pencemaran udara, terutama daripada aktiviti kenderaan bermotor.

Katanya, antara langkah itu termasuklah menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasa terhadap kenderaan yang mengeluaran asap berlebihan, di samping memastikan motosikal tidak mengeluarkan bunyi yang bising.