IPOH : Keputusan tarikh pembukaan sekolah yang melibatkan 398,446 pelajar Tingkatan 5 dan 6 dijangka akan diketahui esok, menerusi perbincangan di antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya, pembukaan semula sesi persekolahan itu akan melibatkan penugasan semua guru seperti biasa di sekolah yang terbabit.

“Kita menunggu keputusan daripada pihak Menteri Pendidikan untuk membuat pengumuman bila sekolah akan dibuka semula dan petang ini rasanya kita akan membuat keputusan yang paling penting.

“Ada satu mesyuarat bersama MKN dan KKM, dan esok kalau andai kata diputuskan pada petang ini kita akan dapat tahu bila sekolah akan dibuka,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja dan tinjauan simulasi sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, di sini pada Selasa.

Ujarnya lagi, seramai 398,446 pelajar itu adalah mereka yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Muslimin berkata, penugasan semua guru selain yang mengajar Tingkatan 5 dan 6 penting bagi memastikan proses pembelajaran pelajar berjalan lancar.

“Ia melibatkan 398,446 orang pelajar dengan pelajar SPM 347,177 pelajar SVM 2,935, pelajar STAM 2,738 dan STPM 4,5596.

 

“Kita menggunapakai cikgu-cikgu lain untuk membantu, kalau dulu kelas kita ada lima tetapi sekarang jadi 10 atau lebih bergantung kepada kapasiti.

 

“Kita menggalakkan setiap kelas antara 17 hingga maksimum 18 orang, jadi bila kita meleraikan kelas ini bermaksud kita terpaksa menggunakan ramai tenaga guru.

 

“Saya kira lebih baik kalau setiap guru itu memang ditugaskan hadir sama dan memberi bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan proses bersemuka itu berjalan dengan sempurna,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu dia turut peka dengan kebimbangan yang disuarakan oleh ibu bapa pelajar mengenai penularan wabak Covid-19 di sekolah dan bagaimana prosedur operasi standard (SOP) akan dilaksanakan.

 

Muslimin memberi jaminan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan sentiasa memastikan pihak pentadbiran sekolah mengikut garis panduan yang telah disediakan oleh Kementerian  Pendidikan Malaysia.