IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis menetapkan 10 hingga 14 Februari 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan Exco Perak, Paul Yong Choo Keong.Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu peguam yang mewakili Paul Yong, Farhan Safian memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan pada akhir bulan Mac 2020 tetapi dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar.

Azhar ketika ditemui di luar mahkamah menjelaskan, oleh kerana kes itu melibatkan seorang exco kerajaan negeri yang juga kakitangan kerajaan, ia sepatutnya diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas didaftarkan.

“Saya katakan sepatutnya bulan Februari sebab kes ini melibatkan seorang exco kerajaan negeri Perak yang juga merupakan kakitangan kerajaan dan memang ada pekeliling Ketua Hakim Negara yang mengatakan bahawa kes untuk kakitangan kerajaan perlu dipercepatkan dan dihabiskan dalam tempoh enam bulan selepas kes didaftarkan.

“Kes didaftarkan bulan Ogos, jadi sepatutnya perlu ditamatkan, diselesaikan kes bicara dan dihabiskan dalam bulan Februari,” katanya.

Menurutnya, pihak pendakwaan akan memanggil sekitar 24 orang saksi sepanjang tarikh tersebut dan berharap kes pendakwaan dapat ditutup.

Sementara itu, Farhan berkata, pihaknya telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 26 November lalu yang menolak permohonan untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan mereka.
Paul yong didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.