AMMAN, JORDAN: Kerajaan Negeri Perak bercadang untuk melaksanakan peperiksaan tauliah mengajar agama yang dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak kepada pelajar-pelajar negeri itu yang melanjutkan pelajaran di timur tengah sebelum mereka pulang ke Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, cadangan tersebut bagi memastikan pelajar-pelajar yang tamat pengajian mendapat tauliah mengajar dan apabila tiba di Malaysia dan khususnya di Perak, mereka boleh terus berbakti kepada masyarakat dengan ilmu yang mereka peroleh.

Menurutnya, penganugerahan tauliah itu sangat penting supaya mereka dapat mengajar sama ada di masjid, surau dan sebagainya, tanpa sebarang masalah dan tidak berlaku sekatan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia masih dalam proses cadangan dan ia perlu dipersetujui oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

“Kami bercadang untuk memberi tauliah kepada pelajar-pelajar sebelum pulang ke tanah air dan para pelajar perlu melalui proses peperiksaan dan temuduga sebelum tauliah tersebut dianugerahkan.

“Pihak dan agensi yang bertanggungjawab akan datang ke sini untuk melaksanakan proses peperiksaan tauliah mengajar kepada pelajar-pelajar.

“Ini bagi memudahkan anda berkongsi ilmu kepada masyarakat sebaik sahaja mereka pulang ke tanah air,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar-Pelajar Perak, di Solah Petra, Irbid, Jordan pada Isnin.

Majlis tersebut telah dihadiri kira-kira 70 orang anak-anak Perak yang belajar di Irbid, Maftaq dan Amman.

Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Mohammed Tasyreef Mohamad Tarmizi serta delegasi Kerajaan Negeri Perak iaitu wakil Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Yayasan Perak.

Selain itu, Asmuni berkata, kerajaan negeri juga mengambil maklum cadangan untuk menganjurkan Kursus Pra Perkawinan Islam dan ia akan melibatkan semua pelajar Perak.

Kata beliau, pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat perancangan dan akan datang ke negara-negara berkaitan untuk menganjurkan kursus ini.

“Cadangan ini dikemukakan sendiri oleh pihak Kedutaan Malaysia di Jordan ketika mengadakan kunjungan hormat siang tadi.

“Saya merasakan cadangan tersebut sangat menarik dan Kerajaan Negeri Perak menyambut cadangan tersebut, kami akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk melaksakannya,” jelasnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan peruntukan khas secara tahunan sebanyak RM50 ribu bagi membiayai pengurusan pelajar-pelajar dari negeri Perak yang menuntut pengajian di bumi Jordan.

Peruntukan tersebut adalah insentif tambahan oleh Kerajaan Negeri selain zakat yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) kepada majoriti pelajar Perak di negara itu.