IPOH: Lebih daripada 11,000 peluang pekerjaan dan latihan bakal ditawarkan dalam Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Barat yang menjadi acara penutup kepada aktiviti yang cukup dinanti-nantikan oleh pencari kerja dari seluruh Malaysia.

Program itu akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama dua hari pada 23 dan 24 September ini, dengan Tanjung Malim menjadi lokasi terakhir jelajah yang mendapat kerjasama dan pengiktirafan daripada syarikat berprestij dari dalam dan luar negara.

IMG_7155

Lebih daripada 60 syarikat gergasi bertaraf antarabangsa dan tempatan dijangka menyertai temu duga terbuka itu yang memberi peluang kepada pencari kerja bersemuka dengan bakal-bakal majikan tanpa perlu menunggu lama.

Menariknya, tawaran pekerjaan itu tidak hanya menumpukan kepada mereka yang berkelayakan tinggi sebaliknya membuka peluang kepada pencari kerja yang berkelulusan darjah enam atau sekadar mempunyai asas membaca, sehingga ke tahap pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, program SL1M yang telah menjelajah ke Sabah dan Sarawak itu juga terbuka kepada graduan yang baru menamatkan pengajian khususnya yang berada di Perak serta negeri-negeri berdekatan.

Beliau berkata, sejak perasmiannya pada Jun 2011, program temu duga SL1M di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah terbukti berjaya memberi pekerjaan kepada ribuan belia dan masyarakat setempat di samping meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan mereka.

“Setakat Jun 2017, seramai 126,000 peserta telah dibantu melalui penglibatan secara langsung dan tidak langsung melalui program SL1M. Dan inilah objektif awal kami.

“Saya percaya program penutup di UPSI tidak akan menghampakan mereka yang datang mencuba nasib kerana temu duga ini menawarkan latihan dan peluang pekerjaan tetap.

“Ia terbuka kepada semua pencari kerja daripada pelbagai bidang kepakaran, pengalaman dan kelulusan akademik. Jadi, inilah masanya untuk orang ramai merebut peluang yang disediakan ini.

“SL1M kini berdiri teguh dengan harapan dapat memberi manfaat terbaik kepada pencari kerja,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Program Temuduga SL1M Zon Barat (Lokasi Terakhir 2017) di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Norashikin berkata, melalui penilaian awal penganjuran SL1M di seluruh negara, pihaknya mendapati kebanyakan pelatih mendapat permintaan tinggi dari syarikat-syarikat dan majikan kerana kualiti dan keazaman mereka di tempat kerja yang ditonjolkan dalam tempoh latihan.

“Jangka masa latihan bergantung kepada keperluan syarikat yang mengambil pelatih SL1M namun berdasarkan maklum balas, 30 peratus daripada pelatih ditawarkan pekerjaan tetap selepas tempoh latihan. Ini menunjukkan kualiti pelatih SL1M dan keyakinan syarikat kepada mereka,” katanya.

f8f7d848-c214-4841-ba60-6b97cb0b6a3f

Norashikin berkata, pelbagai aktiviti menarik dirancang diadakan sepanjang tempoh dua hari SL1M berkampung di UPSI termasuk menyertai secara percuma Klinik Resume dan Ceramah Kerjaya serta syarahan agama oleh Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Selain itu, katanya, turut dianjurkan ialah gerai jualan FAMA.

Bagi kemudahan para pengunjung, pengangkutan awam percuma turut disediakan dari Stesen Bas dan KTM Tanjung Malim ke tapak program, ujarnya.

Tambahnya, penampilan istimewa daripada Duta SL1M iaitu Faizal Tahir dan kumpulan pelawak Zero yang pernah menempuh pelbagai cabaran dalam mencari pekerjaan juga pasti akan memberi rangsangan positif kepada anak-anak muda.

Iktiraf Pekerja Kelainan Upaya (OKU)

Norashikin berkata, pendekatan SL1M agak unik pada penganjuran di lokasi terakhir itu kerana pihaknya ingin menampilkan dan mengiktiraf sumbangan serta peranan pekerja OKU yang sebenarnya berupaya menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.

Katanya, untuk tujuan itu, mereka menampilkan kumpulan muzik jalanan (buskers) tersohor, Caliph Buskers yang berjaya menempa nama dalam industri, sebagai dorongan kepada pengunjung dan masyarakat setempat.

“Terdapat ramai individu OKU yang berjaya menjana pendapatan sendiri, tanpa memberi alasan malah begitu berdedikasi dan bersemangat tinggi untuk membuktikan bahawa kekurangan fizikal tidak menjadi penghalang.

“Inikan pula kita yang sempurna zahirnya. Oleh itu, untuk Program Temu Duga SL1M Zon Barat ini, kami menampilkan pameran dan jualan kraftangan oleh OKU dan Orang Asli agar ia menjadi pembakar semangat buat semua,” katanya.

Sementara itu, vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat sempat berkongsi pengalamannya sebagai insan yang kekurangan deria penglihatan serta jerih payah dalam mencari rezeki sebagai seorang OKU.

“Sebelum ini, kami bekerja sebagai juru urut dan itulah mata pencarian kami. Namun, pada masa terluang, kami bermain muzik. Waktu itulah bakat kami dikesan oleh Edry dan dibawa ke persada seni.

“Bukan senang untuk menjadi artis, apatah lagi insan biasa dengan kekurangan fizikal, namun kecacatan itu bukanlah kekangan sebaliknya ia cabaran hebat bagi kami,” ujarnya.

Selain Caliph Buskers, artis-artis terkenal seperti Hazama, Usop Mentor dan Nastia Band dijangka membuat persembahan dan berkongsi pengalaman sempena program SL1M berlangsung di UPSI, Tanjung Malim.