IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melanjutkan sehingga 30 Jun tawaran diskaun 75 peratus kompaun yang dikenakan sempena sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke 29 dan bulan Ramadan, yang sepatutnya berakhir hari ini (Rabu).

8d86ecf0-5ff2-4248-a543-91453747d5f7Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, lanjutan itu adalah daripada permintaan warga Ipoh.

Bagaimanapun, diskaun itu hanya melibatkan tawaran-tawaran kompaun kesalahan trafik dan laulintas yang dikeluarkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat letak kereta) (Majlis Bandaraya Ipoh).

Menurut beliau, tawaran diskaun itu bertujuan untuk membantu dan meringankan beban wargakota Ipoh untuk melangsai dan menjelaskan kesemua bayaran tertunggak selama ini.

“Sekiranya peluang ini tidak digunakan sebaik mungkin, Majlis tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman ke mahkamah terhadap pesalah tegar walaupun telah diberikan diskaun pengurangan sebanyak 75 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

017d8492-6ab0-4b38-bd50-1cdd1919f151

Terdahulu, ketika ditemui semasa melawat kaunter pembayaran di tingkat bawah Bangunan MBI, Datuk Bandar memberitahu, sejak tawaran itu diperkenalkan mulai 1 Jun lalu, MBI berjaya mengutip hampir RM900,000 tunggakan saman.

60759fc6-d258-4eeb-b22d-6e188dd82a75Menurut beliau, kira-kira 30,000 orang kena kompaun (OKP) telah menjelaskan tunggakan mereka yang melibatkan lebih 63,000 bilangan kompaun.

“Berdasarkan maklumat, terdapat OKP yang mempunyai 400 saman yang telah tampil untuk menjelaskan tunggakan samannya yang dikatakan sejak lima tahun lalu,” ujar beliau.

Bagaimanapun, kata Zamri, jumlah OKP yang tampil itu hanya kira-kira 25 peratus daripada kira-kira 120,000 orang yang melibatkan tunggakan saman terkumpul RM30 juta sejak lima tahun lalu.

Wargakota Ipoh boleh terus membuat pembayaran kompaun di Kaunter Bayaran Ibu Pejabat MBI, Jalan Sultan Abdul Jalil, Kaunter Bayaran di Jalan Bandar, Kaunter Bayaran MBI di UTC dan Kaunter Pandu Masuk MBI dan secara atas talian dengan melayari Portal Rasmi MBI, www.mbi.gov.my.

2ab1e466-1e96-416d-9585-7dd04070d784

Untuk semakan, mereka boleh terus ke Kaunter 1 Serve di Lobi Bangunan MBI, Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh.