KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau badan bebas lain dicadangkan supaya meneliti kes-kes yang didakwa atau yang digugurkan oleh Tan Sri Tommy Thomas.

Ia perlu untuk menilai semula sama ada keputusan yang dibuat semasa menjadi Peguam Negara sebelum ini ada unsur-unsur campur tangan politik atau bertindak berdasarkan arahan haram.

Datuk Seri Najib Razak  mengusulkan perkara itu selepas mahkamah membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 tuduhan rasuah hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Musa didakwa oleh Peguam Negara yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung pindaan dana di luar negara yang berlaku antara 2004 hingga 2008.

Bagaimanapun kes Musa ini tidak pernah didakwa di luar negara walaupun pindaan dana itu berlaku di luar negara dan bukan dalam Malaysia.

Malah, pihak berkuasa anti-rasuah Hong Kong (ICAC) telah berkali-kali menjawab kerajaan Malaysia termasuk kerajaan PH bahawa tiada kes yang boleh didakwa ke atas Musa mengenai pindaan dana ini.

Sehingga awal tahun ini, ICAC masih tetap dengan pendirian tiada unsur kesalahan rasuah berhubung kes Musa walaupun berulang-kali ditanya oleh pihak SPRM dan pendakwa raya kerajaan PH.

Bagaimanapun, katanya, surat-surat berhubung nyah beku akaun bank taikun pemaju hartanah yang telah terdedah baru-baru ini membuktikan Tommy bukanlah neutrak kerana bertindak berdasarkan arahan Lim Guan Eng serta Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini diperkukuhkan dengan tindakan PH merampas jawatan Ketua Menteri Sabah daripada Musa walaupun beliau sudah mengangkat sumpah.

Musa telah mencabar keputusan Yang di-Pertuan Negeri Sabah yang melantik Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri 48 jam selepas Musa angkat sumpah untuk jawatan yang sama.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan keputusan kes pada 7 November 2018.

Tetapi, kata Najib, dua hari sebelum keputusan hakim untuk menentukan siapa adalah Ketua Menteri Sabah yang sah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak berkuasa atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui, telah membuat keputusan untuk menangkap dan mendakwa Musa.

”Ini jelas menujukkan ‘political persecution’ (pendakwaan politik) dan pendakwaan berniat jahat,” kata beliau.

Fakta ini, jelasnya, diperkukuhkan lagi apabila pada 5 Mac, 2019, Timbalan Pendakwa Raya melalui penyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan yang mengesahkan keputusan yang dibuat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani bahawa tiada kes ke atas Musa.

Walaupun Musa didakwa pada 5 Nov 2018, kes dia tidak pernah melepasi fasa pengurusan kes dan tidak pernah dibicara sehari pun sehingga kini kerana ia telah ditangguh berulang kali oleh pendakwa raya dengan alasan mereka sedang menunggu bukti baru.

Malah Musa telah dibebaskan untuk lima daripada dakwaan ke atasnya pada 18 Oktober 2019 masa kerajaan PH kerana pendakwa raya gagal mendapat bukti baru.

”Keputusan untuk mendakwa Musa masa kerajaan PH adalah berdasarkan bukti-bukti dan hasil siasaan sama yang telah dipertimbangkan oleh Abdul Gani mantan Peguam Negara, Tun Abd Majid bin Dato’ Haji Tun Hamzah, mantan Ketua Bahagian Pendakwaan, Tan Sri Abu Kassim Mohammad, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan Datuk Seri Mustafar Ali mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

”Keputusan untuk tiada kes untuk didakwa masa itu juga dipersetujui oleh seluruh Panel Penilaian Operasi SPRM.

”Pihak pembelaan juga telah memfailkan Afidavit baru dari mantan Peguam Negara Abdul Gani Patail yang mengesahkan kes ke atas Musa Aman adalah tidak berasas,” jelasnya.

Najib berkata, cadangan yang dibuat itu selepas mengambil kira Tommy terlalu mudah membuat keputusan mahu mendakwa sesiapa walaupun bukti langsung tidak cukup sehingga membebankan individu yang kena tuduh. -MalaysiaGazette