SEPANG: Lebih 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang kini berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco), gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata, keadaan itu berlaku disebabkan terdapat penghuni yang bekerja mengikut syif.

Menjelaskan apa yang berlaku, beliau mengambil contoh pengalaman melaksanakan Temco di Hentian Kajang sebelum ini.

Katanya, apabila kepungan dibuat pada tengah malam, bermula pukul 1 pagi, ada penduduk yang balik kerja lebih awal dan lambat.

“Penduduk yang balik awal, mereka akan disaring, tetapi ada penduduk yang di depan mata kita, keluar begitu saja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran.

Mohamad Zain berkata, perkara sama berlaku apabila Temco di Medan 88 dilaksanakan.

“Apabila penduduk dapat tahu awal, perkara sama berulang. Akibatnya, walaupun kita sasarkan sekitar 700 hingga 800 penduduk, yang tidak dapat dikesan seramai 400 orang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk terbabit menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Mohamad Zain berkata, kerjasama daripada penduduk yang enggan pulang amat diharapkan demi keselamatan masyarakat.

“Temco dilaksanakan supaya setiap penduduk dapat disaring, bukan sahaja untuk mengawal keselamatan semata-mata.

“Jadi janganlah bimbang dan takut kerana apa yang dilakukan adalah bagi tujuan saringan sahaja,” jelasnya. – UTUSAN