KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini yang berhajat menunaikan ibadat umrah tahun depan, boleh mula membuat tempahan dengan agensi pelancongan umrah.

Ia susulan keputusan Arab Saudi yang mengumumkan akan membuka pintu sempadan negara itu pada 1 Januari tahun depan, selain akan memaklumkan perancangan untuk membenarkan kemasukan jemaah umrah tidak lama lagi.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata walaupun tempahan sudah boleh dibuat, pemergian ke Tanah Suci perlu mengikut peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia termasuk pembukaan semula sempadan negara dan Arab Saudi.

“Persediaan perlu dilakukan supaya jika sempadan dibuka kelak, jemaah sudah boleh terbang ke sana,” katanya kepada BH, hari ini.

Razali bagaimanapun berkata, keutamaan akan diberikan kepada kira-kira 50,000 bakal jemaah yang sudah membuat bayaran sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Mereka ini sepatutnya pergi menunaikan umrah pada Mac, April dan Mei lalu, namun tidak kesampaian disebabkan PKP. Jadi, kita akan dahulukan mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, semua agensi pelancongan akan menghubungi bakal jemaah untuk menetapkan tarikh yang sesuai, sebaik saja kebenaran untuk menunaikan umrah diumumkan Arab Saudi.

“Agensi juga perlu menempah tiket penerbangan dan hotel di Makkah dan Madinah, selain menyusun kewangan.

“Selain itu, agensi juga perlu mengurus dan merancang prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.