IPOH – Sebuah syarikat kontraktor diberi tempoh 30 hari untuk memastikan penempatan pekerja-pekerjanya diasingkan dari kawasan tapak pembinaan atas faktor keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Amaran itu diberikan dalam satu pemeriksaan Operasi Khas Cegah Jatuh oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri di kawasan pembinaan perumahan 22 tingkat di sini, hari ini.

Pemeriksaan yang diketuai Pengarah JKKP negeri, Ir Mohd Hatta Zakaria itu mendapati rumah kongsi yang menempatkan pekerja asing lelaki dan perempuan dibina bersebelahan dengan tapak pembinaan itu yang dibimbangi boleh memudaratkan pekerja jika berlaku kecuaian.

Operasi selama tiga jam melibatkan 28 pegawai di lapan lokasi bermula jam 9 pagi itu memfokuskan pematuhan perundangan dan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh pihak kontraktor.

Mohd Hatta berkata, notis akan dikeluarkan terhadap kontraktor untuk memindahkan pekerja terbabit ke lokasi yang lebih selamat.

“Mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967, rumah kongsi berkenaan seharusnya di tempatkan di luar tempat bekerja.

“Sepatutnya ada hadangan di antara rumah dan tapak pembinaan kerana tempat kerja adalah berisiko untuk keselamatan dan kesihatan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurutnya, operasi itu telah memfokuskan kerja-kerja membabitkan di tempat tinggi dan mengangkat yang berisiko kepada pekerja, orang awam dan harta benda.

“Pemeriksaan pada lapan tapak pembinaan, sejumlah 44 notis pembaikan, 72 notis larangan dan 20 kawasan tepian terbuka dan perancah telah disita.

“Notis dikeluarkan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967. Terdapat 616 pekerja di 8 tapak binaan tersebut, daripada jumlah tersebut  483 pekerja adalah pekerja asing,” katanya.

Mohd Hatta berkata, terdapat 459 tapak bina aktif di negeri ini dan pihaknya telah menjalankan 264 penguatkuasaan setakat ini.

“Kita menggesa pihak industri menjalankan tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan tapak kerja mereka. Tindakan tegas diambil jika majikan gagal mematuhi kehendak perundangan berhubung aspek itu.

“Majikan perlu mengambil inisiatif menambahbaik aspek berkenaan berdasarkan notis yang dikeluarkan selain mematuhi jadual masa pembinaan yang ditetapkan,” katanya – sinar