KUALA LUMPUR : Pindaan sidang Dewan Rakyat kepada 18 Mei ini, selepas diubah daripada takwim asal pada Isnin depan, boleh dianggap umpama `gencatan senjata’ bagi mengendurkan ketegangan kemelut politik pada masa ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata pindaan sidang itu boleh dianggap satu keperluan ketika ini supaya kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional (PN) ada masa untuk membentuk Kabinet dan merancang hala tuju negara.

Bagaimanapun, beliau turut berpendapat bahawa ada kemungkinan keputusan itu boleh memberi kesan ke atas sesi meluluskan sesuatu dasar atau rang undang-undang baharu.

“Saya berpandangan bagus juga ditunda sesi persidangan ini kerana selepas kemelut politik kebelakangan ini, tempoh diperlukan bagi menenangkan semua Ahli Parlimen selain memberikan masa kepada Perdana Menteri untuk menyusunkan Kabinet dan menentukan hala tuju.

“Tempoh ini boleh dianggap sebagai ‘gencatan senjata’ dalam kalangan Ahli Parlimen. Bagi mereka masa untuk bertenang dan apabila sidang ini berlangsung pada bulan puasa mungkin sedikit sebanyak akan mempengaruhi kelakuan Ahli Parlimen supaya lebih tenang sekali gus menurunkan suhu panas politik.

“Meskipun tiada masalah daripada sudut perundangan, cuma kita bimbang tidak bagus apabila masa berkenaan boleh digunakan untuk meluluskan undang-undang dan dasar diperlukan pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mujibu diminta mengulas pindaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14, yang sepatutnya berlangsung bermula 9 Mac ini tetapi dipinda kepada 18 Mei ini, seperti diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff, dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas perkara sama, pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan persidangan Parlimen perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sidang terakhir diadakan mengikut Perkara 55 (1).

Jelasnya, berdasarkan perkara itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada perincian dalam Perlembagaan menyatakan mengapa enam bulan ditetapkan sebagai tempoh bersidang.

“Cuma ada tafsiran, kalau tidak dibuat dalam tempoh enam bulan, boleh jadi Parlimen terbubar namun tiada perincian mengenal hal berkenaan. Namun, tidak begitu jelas apa implikasi jika tidak bersidang dalam tempoh enam bulan itu.

“Pada tafsiran saya, tempoh itu membenarkan dewan itu untuk bertenang dahulu. Tetapi, enam bulan itu juga akan merujuk kepada situasi dalam keadaan semasa bahawa dalam tempoh itu mesti akan timbul perkara-perkara yang perlu dibahaskan dalam Parlimen. Maknanya, tempoh itu boleh membenarkan isu-isu baharu dibincangkan.

“Kalau ada undang-undang yang telah dibuat sebelum ini atau telah dibacakan tetapi tak habis sebelum ini, sekurang-kurangnya tempoh itu boleh mencukupi masa untuk kaji penambah baikan satu rang undang-undang yang dibentangkan sebelum ini. Kalau tiga bulan mungkin tak sempat,” katanya. -BH