BAYAN LEPAS: Dua tengkorak dan serpihan tulang manusia ditemui dalam bungkusan plastik di tempat pembuangan sampah di Jalan Kolam Ikan, dekat sini, semalam.

Bungkusan itu ditemui orang awam sekitar 7.34 malam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan penemuan berkenaan.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mendakwa menemui tulang dipercayai milik manusia di kawasan berkenaan.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang (IPK) ditempatkan di lokasi bagi menjalankan siasatan sebelum menjumpai dua tengkorak kepala manusia serta serpihan tulang badan yang dibungkus dalam plastik, ” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, setakat ini tiada saksi bebas tampil bagi memberi keterangan mengenai pembuangan barangan itu di tempat kejadian.

“Berdasarkan penandaan yang tertera pada tulang itu kemungkinan besar dipercayai digunakan bagi tujuan pembelajaran atau ‘University Usage for Education’.

“Kesemua tengkorak dan tulang itu diserah kepada Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dianalisa,” katanya.