PETALING JAYA : Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya kira-kira 60% rakyat Malaysia mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan semalam.

“Jika kita tidak mempunyai pilihan, jika pematuhan kekal pada 60% atau 70%, maka saya percaya ada kemungkinan besar tentera akan digunakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Ingin menjemput isteri, teman wanita dan menziarahi keluarga antara alasan diberikan pengguna jalan raya ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, malam tadi.

Penguatkuasaan selama 14 hari susulan COVID-19 yang bermula semalam, masih ada segelintir masyarakat berdegil dan keluar rumah tanpa urusan penting.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@ Hilmi, berkata operasi dilakukan di Bangsar South dan Taman Tun Dr Ismail bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga akan membuat pemakluman melalui pembesar suara di dalam unit kereta peronda (MPV).

“Kita juga akan buat di masjid, surau dan tempat-tempat tumpuan seperti di Kl Sentral serta bangunan pejabat.

“Pemeriksaan premis perniagaan yang dijalankan juga dapati masih ada premis yang bukan dikategorikan dalam perkhidmatan penting (essential service) masih menjalankan perniagaan dan mereka dinasihatkan untuk menutup perniagaan seperti diarahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai mematuhi arahan dan mereka dinasihatkan duduk di rumah dengan mengehadkan pergerakan keluar.

Mereka yang mempunyai pertanyaan boleh berhubung pusat pengurusan operasi negara di talian hotline 03-88882010 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields 03-22979222.