KUALA LUMPUR : Tentera Darat (TD) sentiasa bersedia untuk mengerahkan anggotanya bagi mengekalkan ketenteraman awam jika berlaku rusuhan jalanan susulan perkembangan politik terkini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata pihaknya akan menjalankan tugas mengikut kepakaran dan skop penugasan berdasarkan keperluan semasa.

“Tugas TD adalah berlatih untuk berperang, itu tugas utama. Tugas keduanya, kita bantu pihak berkuasa awam untuk menentukan (memastikan) negara ini aman.

“Saya ingin memaklumkan TD bersedia untuk melaksanakan sebarang tugas yang diberikan.

“Dalam konteks ini (jika berlaku rusuhan), Insya-Allah apabila TD diperlukan, kita akan laksanakan tugas diberi mengikut tanggungjawab masing-masing,” katanya pada wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Hasbullah berkata, isu keamanan negara tidak terletak di bahu agensi dan pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

“Semua individu perlu bertanggungjawab. Kita mahu hidup dengan aman tanpa mengorbankan diri sebagai rakyat, konsep itu sudah salah.

“Rakyat adalah antara elemen penting dalam mempertahankan (keamanan) negara ini,” katanya.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan terus memantau perkembangan semasa politik tanah air, bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dipelihara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik berkata setiap warganegara perlu menghayati dan menghormati sepenuhnya proses demokrasi yang menjadi dukungan negara ini.

Suasana politik negara mula panas sejak kelmarin, susulan khabar angin mengenai spekulasi pembentukan kerajaan baharu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebahagian ahli UMNO dan PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MIC, MCA dan Parti Warisan Sabah (WARISAN). -BH