KUALA LUMPUR: Tentera Darat sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai kanannya menumbuk seorang anggota bawahan seperti yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata siasatan akan dijalankan secara bebas dan adil.

“Selaku Menteri Pertahanan, saya mengambil maklum, pihak Tentera Darat sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.

“Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang ‘cover up’ dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Mohamad berkata, semua pihak diminta supaya bersabar dan berhenti daripada membuat dakwaan berkaitan kes berkenaan.

Katanya, ia bagi menjaga nama baik Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit lapan saat sejak dua hari lalu menunjukkan seorang lelaki yang didakwa seorang pegawai atasan tentera menumbuk seorang anggota bawahan dipercayai di hadapan pintu masuk kem askar.

Bersama video itu, satu kenyataan yang mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan pegawai berkenaan tidak berpuas hati kerana ditahan di hadapan pintu masuk oleh anggota bawahan terbabit – berita harian