BATU PAHAT: Seorang anggota tentera meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di sini pada 29 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Muhammad Izzudin Runggai berkata kejadian itu mengakibatkan anggota tentera terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

“Mangsa meninggal dunia pada 2.30 petang semalam (Ahad) ketika masih menerima rawatan di Wad ICU itu. Bedah siasat akan diadakan hari ini bagi mendapatkan punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Muhammad Izzudin berkata siasatan diteruskan daripada semua aspek untuk mengenal pasti punca mangsa mengambil tindakan sedemikian (terjun dari bangunan).

“Polis juga akan mendapatkan kesahihan dakwaan anggota keluarga yang memaklumkan mangsa berkemungkinan dibuli dan didera ketika berada di dalam kem sebelum kejadian,” katanya.

Sebelum ini, kisah mengenai anggota tentera berkenaan tular di media sosial yang turut mendakwa mangsa dibuli dan didera.

Sementara itu di IPOH, Perak, ahli keluarga anggota tentera berkenaan merayu agar pihak berkuasa menyiasat secara telus punca sebenar kematian.

Abang tirinya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Putra berkata kejadian itu amat mengejutkan dan amat sukar diterima oleh mereka sekeluarga.

“Kami harap pihak berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia ambil kejadian ini sebagai sesuatu yang serius. Harap ada pembelaan dan siasat dengan seadilnya agar kami tahu punca sebenar,” katanya.

Beliau berkata adik tirinya itu sebelum ini melarikan diri dari latihan kerana tidak tahan dibuli namun, setelah dinasihati ahli keluarga, arwah bersedia kembali semula ke kem dan akur jika dikenakan tindakan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan di sini, malam tadi.– BERNAMA