MANJUNG – Suasana gembira lima beranak menikmati hidangan makan malam di rumah bertukar tragedi apabila musnah dalam kebakaran sekitar jam 9 malam semalam.

Mangsa, Zamzuri Haris, 40-an, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  berkata, kejadian disedari anak sulungnya berusia 13 tahun ketika ke dapur.

“Semasa kejadian saya, isteri dan tiga anak kami berada di rumah dan sedang mula menjamu selera dan tiba-tiba anak sulung saya menjerit rumah terbakar dari dapur.

“Dia ketika itu hendak basuh tangan sebelum makan malam dan bila dengar dia menjerit ada api saya terus ke belakang dan lihat api sedang marak lalu kami semua lari keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurut Zamzuri, dia dan keluarga masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku dan cuba melupakan kejadian yang memusnahkan kediaman mereka dalam sekelip mata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Shuib Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.01 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian didapati api sedang marak membakar sebuah rumah jenis kelas A berukuran 35’X70′ yang sedang terbakar hampir 55 peratus.

“Anggota kemudiannya mengambil tindakan segera memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki, dua pancutan melibatkan dua jentera FRT dari BBP Seri Manjung dan Sitiawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya operasi pemadaman tamat pada jam 10.55 malam dan rumah berkenaan musnah 80 peratus serta tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan – sinar