MIRI: Seorang remaja perempuan tergamam selepas terserempak seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel sambil melakukan aksi lucah di belakang rumahnya di Taman Tunku, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mangsa yang berusia 17 tahun itu sedang membasuh pinggan di dapur sebelum melihat bayang-bayang hitam di lorong belakang rumahnya.

Sumber memberitahu remaja berkenaan cuba memperhatikan ‘lembaga’ itu dan menyedari ia adalah seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel.

“Lebih membimbangkan, lelaki terbabit turut melakukan aksi lucah sambil melihat ke arah rumahnya. Mangsa cuba merakam perbuatan lelaki terbabit menggunakan telefon, bagaimanapun, disedari lelaki itu dan melarikan diri,” katanya.

Bimbang dengan keselamatannya, mangsa menghubungi jirannya yang kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP).

Difahamkan, lelaki terbabit sudah lama memperhatikan wanita berkenaan sambil melakukan aksi lucah sebelum ini.

“Wanita terbabit kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu – berita harian