PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu perlu menerima hakikat ia gagal mengurus Kementerian Pertahanan dengan baik susulan pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) paling rendah, kata Hishammuddin Hussein.

Bekas menteri pertahanan itu berkata, tidak pernah dalam sejarah, LTAT mengumumkan dividen terlalu lambat dan paling rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tak pernah lagi dalam sejarah LTAT, dividen diumum lewat berbulan-bulan. Sampaikan dah nak masuk Oktober baru umum dividen.

“Sudahlah lewat umum, dividen pula cuma dua peratus, terendah sejak tahun 1973,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, LTAT mengumumkan dividen dua peratus bagi tahun kewangan 2018, penurunan mendadak berbanding tahun sebelumnya susulan dakwaan penyelewengan dalam lembaga itu, termasuk terlebih bayaran dividen di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengerusi LTAT, Mohd Zahidi Zainuddin berkata, keuntungan bersih tidak diaudit berjumlah RM221 juta merupakan penurunan ketara 51.9 peratus berbanding RM459.5 juta bagi tahun sebelumnya.

Katanya, penurunan itu disebabkan pelbagai faktor yang berlaku dalam dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga mempersoalkan adakah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sebelum ini menghentam LTAT akan diam dengan pengumuman dividen rendah itu.

“Tahun 2016 dulu, apabila kita umum dividen 12 peratus bagi tahun kewangan 2015, Rafizi Ramli melenting sampai hendak buat analisis kewangan serta bawa LTAT ke mahkamah.

“Sekarang agak-agak beliau hendak buat apa pula ya? Ke diam seribu bahasa je?,” katanya.

Hishammuddin berkata, PH harus berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu kerana selepas ia menang pilihan raya umum ke-14 tahun lepas, dua aset terbesar LTAT, iaitu Boustead dan Affin Bank mengalami kejatuhan nilai saham paling teruk dalam sejarah.

Beliau juga berkata, Hotel Royal Chulan milik Boustead juga dijual kepada syarikat Singapura dengan harga rendah berbanding harga pasaran.

“Ini semua berlaku zaman PH, semangat kerajaan Malaysia Baru kononnya. Walhal, ia menggadai bukan membina.

Hishammuddin juga berkata, kerajaan PH perlu berhenti memperjudikan kebajikan anggota tentera dan warganya.

“Mereka perwira sebenar kita semua, yang rela mati demi negara.

“Kerajaan PH khususnya Kementerian Pertahanan perlu ambil tanggungjawab dan jelaskan kepada rakyat cerita sebenar di sebalik kegagalan ini. Jangan hanya suka baling batu sembunyi tangan, rakyat sudah bosan,” katanya.