IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai suspek mencuri komponen kenderaan sanggup terjun ke dalam lombong berdekatan Kampung Dato’ Ahmad Said, Jelapang di sini dalam usaha meloloskan diri daripada pihak polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, dalam kejadian pukul tujuh malam semalam, kereta peronda (MPV) polis sedang membuat rondaan di Jalan Sultan Azlan Shah sebelum terserempak dengan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ujarnya, pihak polis meminta suspek berumur 41 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saja warna hijau itu untuk berhenti, bagaimanapun suspek memecut laju dan melarikan diri sehingga ke Kampung Manjoi.

“Kami mengekori dan membuat hebahan ke DDC COVID untuk bantuan, setelah sampai di Jalan Cenderawasih Kampung Dato’ Ahmad Said mendapati kereta itu telah berhenti di jalan mati dan suspek bertindak terjun ke dalam lombong.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan sembilan tahun yang dipercayai anak suspek.

“Selain itu turut ditemui tiga sportrim kereta dan tayar, dua sportrim motosikal, sebuah altenator kereta, komponen kereta (cylinder head) yang disyaki barang curi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek berjaya ditangkap pada pukul 12.30 malam tadi dengan dibantu pegawai dan anggota dari cawangan D9 dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

A. Asmadi berkata suspek juga mengalami kecederaan di kepala sebelah kiri dan calar di kaki kiri dan kanan akibat terkena objek semasa terjun ke dalam lombong.

“Suspek ditangkap dan kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan susulan.

“Sementara itu seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes,” katanya.

Katanya suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.