TAIPING – Seorang pemilik restoran tergamam apabila premisnya didakwa menawarkan perkhidmatan seks melalui promosi dibuat pihak tidak bertanggungjawab menerusi laman sosial Facebook, 7 September lalu.

Lebih mengejutkan, hantaran ‘iklan’ promosi perkhidmatan seks kononnya ditawarkan premis restorannya di Bukit Jana, Kamunting dikatakan turut melibatkan anak perempuannya berusia 17 tahun sebagai salah seorang ‘pelacur’.

Mangsa pemilik restoran, Ng Chai Aun,63, berkata, pihaknya mula menyedari laman Facebook rasmi restorannya iaitu ‘Taiping Nyonya House’ dihujani dengan komen-komen berunsurkan fitnah berkaitan kualiti makanan ditawarkan oleh pihak tertentu pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, pelbagai komen berunsurkan fitnah berterusan dilemparkan kepada premis restorannya selama dua minggu selepas itu, namun pihaknya hanya mengambil sikap berdiam diri.

“Meskipun puluhan komen berunsurkan fitnah dimuat naik dalam laman rasmi Facebook restoran kami memberi kesan, namun saya mengambil pendekatan bersabar kerana enggan bersikap terburu-buru.

“Namun pada 7 September lalu, pihak kami mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab bertindak mengongsi hantaran ‘iklan’ mendakwa restoran kami ada menawarkan perkhidmatan seks melalui laman Facebook rasmi restoran.

“Lebih menyedihkan, pihak berkenaan bertindak melampau dengan turut berkongsi gambar anak perempuan saya berusia 17 tahun berserta satu rakaman video lucah, dan mendakwa anak saya merupakan salah seorang pelacur di restoran kami,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penasihat Pengguna Taiping, di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Pengguna Taiping, Dr Billy Toh.

Chai Aun berkata, gambar anak perempuannya dipercayai digodam pihak berkenaan melalui laman Facebook peribadinya, manakala rakaman video lucah yang turut dihantar sebenarnya langsung tiada kaitan dengan pihaknya.

Menurutnya, pihak terbabit juga dipercayai menggunakan akaun Facebook palsu bagi menjalankan kerja terkutuk dan menyebarkannya kepada pelanggan setia restorannya.

“Kesan perbuatan keji itu, anak perempuan saya kini sudah fobia dan takut hendak keluar dari rumah kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu turut menjejaskan imej keluarga dan restoran saya kerana banyak pihak menelefon saya bertanyakan kesahihan ‘iklan’ disiarkan,”katanya.

Chai Aun berkata, pihaknya membuat satu laporan polis mengenai kes itu di Balai Polis Taiping, di sini semalam setelah mendapatkan pandangan Penasihat Pengguna Taiping.

“Saya tidak menolak kemungkinan kes fitnah itu dilakukan individu yang sebelum ada kaitan dengan urusan perniagaan restoran saya.

“Apapun, saya menyerahkan perkara ini kepada polis untuk siasatan susulan dan berharap mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan saya supaya tampil bersemuka bagi menjernihkan segala perbalahan,”katanya – sinar