SELAMA – “Kami sekeluarga tidak sangka anak dan cucu tunggal pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata.”

Demikian luahan pilu bapa kepada mangsa kemalangan maut, Rofiza Julia Musthafa, 31, dan anak perempuannya, Nur Rafa Zhafira Imran Ariff yang baru berusia setahun setelah terlibat kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda pada 7 Ogos lalu.

Bapa dan datuk kedua-dua mangsa itu, Musthafa Mohamud,55, berkata, tragedi malang itu juga turut menyebabkan dia dan isteri, Rohani Dollah,54, hilang tempat bergantung ketika ini kerana Allahyarham Rofiza Julia banyak membantu untuk menampung keperluan keluarga sebelum ini.

Menurutnya, selaku anak tunggal, Allahyarham Rofiza Julia sanggup bekerja kilang di Pulau Pinang untuk membiayai keperluan anak perempuan tunggal serta keluarga.

“Setiap minggu, arwah Rofiza membawa anak tunggalnya berjumpa dengan bekas suami yang turut menetap di di sini.

“Lebih memilukan, sewaktu kejadian kemalangan berlaku, bekas suami arwah difahamkan sedang mengekori kereta dinaiki arwah dan anak mereka dengan kenderaan lain di belakang.

“Jadi kejadian tragedi kemalangan itu berlaku di hadapan mata bekas suami arwah dan berita itu kemudiannya mengejutkan saya dan isteri di rumah,” katanya sewaktu ditemui pada majlis penyampaian cek faedah pengurusan jenazah Pertubuhan Keselamatan Sosial(Perkeso) kepada waris keluarga mangsa di Kampung Ulu Damak, Rantau Panjang di sini hari ini.

Bagaimanapun, kisah kesedihan dialami keluarga Musthafa susulan kehilangan cucu dan anak tunggalnya dalam tragedi kemalangan ngeri itu sekaligus sedikit terubat apabila pihak mereka menerima sumbanban faedah pengurusan jenazah bernilai RM2,000 daripada Perkeso.

Selain itu, keluarga mangsa juga bakal menerima pencen penakat bulanan daripada Perkeso berasaskan jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Penolong Pengurus Perkeso Taiping, Abdul Hisham Abdul Rahman berkata, pencen penakat itu layak diterima waris Allahyarham Rofiza Julia kerana mangsa bekerja di salah sebuah kilang Pulau Pinang dan ia diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan warisnya.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kematiannya, skuad Perkeso Prihatin melakukan semakan dan mendapati waris layak menerima pencen berkenaan.

“Pencen penakat ini dibayar kepada ayah dan ibu mangsa kerana arwah telah berpisah dengan bekas suami,”katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohani Dollah mendedahkan mereka sekeluarga merasai pemergian Allahyarham Rofiza Julia memandangkan arwah seorang yang ceria serta sentiasa membantu seluruh ahli keluarga – sinar