BACHOK – Seorang pemuda hanya mampu terlantar sejak sembilan tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan.

Mohamad Zulkarnain Abdullah, 24, kini dijaga oleh ibunya, Ma Kelsom Omar, 58, dan bapanya, Abdullah Daud, 65, di kediaman mereka di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Setiausaha Alumni Islah English School (AIES), Juan Jadin berkata, nasib menimpa Mohamad Zulkarnain itu amat meruntun hati mereka sementelah ia meragut peluang anak muda itu meneruskan pelajarannya.

Katanya, keluarga pemuda itu bukanlah orang senang memandangkan ayahnya kini tidak begitu sihat untuk bekerja sebagai tukang rumah seperti sebelum ini.

“Ibunya pula hanya bercucuk tanam secara kecil-kecilan selain menerima sedikit sumbangan daripada anak-anak lain untuk menampung belanja seharian mereka.

“Mereka ada terima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 hingga RM2,000 sebulan untuk menampung keperluan anaknya itu,” katanya ketika menziarahi keluarga berkenaan, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, AIES dari grup 1947-1971 turut menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank atas nama Ma Kelsom Omar, 1530-1070-4832 atau menghubungi ibunya, di talian 010-8405897.

-SianarHarian

-SinarHarian