SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengulas lanjut berhubung penafian Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menerima dana daripada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya menegaskan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pemimpin UMNO itu untuk membuat pembayaran kompaun.

“Terpulang kepada dia (Ahmad nafi terima dana 1MDB). Dia nak bayar kompaun atau tidak kita akan melihat selepas dua minggu untuk tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melawat Tapak Pasar Mega Seksyen 13 di sini sempena Ulangtahun SPRM Selangor ke-52 dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Isnin lalu, Ahmad selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendakwa beliau tidak menerima sebarang dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan itu juga menafikan menerima cek daripada syarikat kontroversi itu.

Dalam masa sama, Latheefa pada Isnin lalu mengumumkan senarai 80 individu dan entiti yang akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, dipercayai menerima wang berjumlah RM25.7 juta daripada 1MDB yang disalah guna.

Latheefa juga berkata, setakat seminggu selepas notis itu diserahkan, pihaknya masih belum menerima sebarang pembayaran daripada 80 individu dan entiti yang dinamakan sebagai penerima dana 1MDB

“Belum satu pun (bayar kompaun 1MDB). Tapi ada yang datang untuk menunjukkan komitmen membuat bayaran,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette